Advertisement

MALAYSIA sedang menyaksikan peningkatan ketara ancaman terhadap keselamatan insan dan ia adalah pelajaran paling besar dari 2021 yang perlu dijadikan iktibar, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata penyebab utama ancaman itu adalah pandemik Covid 19 dan perubahan cuaca.

Advertisement

Menurutnya, kedua-duanya adalah ancaman keselamatan bukan tradisional, yang telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negara.

“Bukan sahaja jumlah yang terkorban sangat ketara, kedua-duanya juga menjerumuskan jutaan rakyat ke tahap lebih miskin kerana kehilangan pekerjaan, tertutupnya peluang pendidikan dan kesukaran untuk membangun perniagaan.

Advertisement

“Rakyat yang terjejas merasa tidak lagi selamat. Kehilangan punca pendapatan, harta benda, kemusnahan prasarana serta pergerakan yang terbatas kerana protokol kesihatan yang ketat, semuanya adalah ancaman nyata kepada keselamatan insan.

Advertisement

“Semua ini menuntut perubahan paradigma, dalam kita mengurus dasar keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modenisasi aset keselamatan dan pertahanan sahaja, tidak akan mencukupi untuk menangani kedua-dua ancaman tersebut, apalagi sekadar memperbaiki kemudahan prasarana yang terjejas teruk kerana banjir yang luar biasa.

Menurutnya, Malaysia memerlukan tindakan agresif menangani punca perubahan cuaca seperti fenomena kemarau berpanjangan, krisis air, musim hujan tidak menentu, banjir luar biasa serta pencemaran pada skala mega yang akan menjadi suatu kelaziman baru jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam dasar alam sekitar negara.

Advertisement

“Menjadikan negara neutral karbon menjelang 2050 adalah sasaran yang tidak realistik, jika tiada perubahan radikal dalam cara kita mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan paling penting, menukar gaya hidup rakyat.

“Sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan, menghentikan penggunaan plastik, mewajibkan pembangunan cekap tenaga, juga penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2035,” katanya.

Advertisement

Mohamad berpendapat, dasar kelestarian negara memerlukan sesuatu yang benar-benar ‘menggoncang dan menggegarkan’ dengan sesuatu yang luar biasa dan berdampak berganda serta bukan sesuatu yang ‘incremental’ dan reaktif.

“Memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur.

“Rakyat Malaysia memerlukan jaminan keselamatan insan, melalui dasar yang jelas dan tindakan nyata.

“Kerajaan yang tidak boleh memberi jaminan keselamatan insan, adalah Kerajaan yang tidak mengerti kehendak semasa dan keperluan masa depan rakyatnya,” katanya. – Malaysiapost

Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published.