Megastar veteran Bollywood, Amitabh Bachchan, 77, dan anak lelakinya, Abhishek, 44, disahkan positif COVID-19 dan dimasukkan ke hospital, di kampung halamannya di Mumbai, semalam.
Beliau memaklumkan dalam ciapan di Twitternya meminta orang yang ada kontak rapat dengannya membuat ujian saringan.
“Saya positif COVID-19.. dipindahkan ke hospital,” kata Bachchan sambil menyatakan bahawa keluarga serta kakitangannya sudah menjalani ujian dan sedang menunggu keputusannya.
“Semua yang berada dekat dengan saya dalam 10 hari lalu diminta agar membuat ujian,” tambahnya.
Kedua-dua beranak itu menerima rawatan di Hospital Super Speciality Nanavati, Mumbai.

“Terdahulu, hari ini bapa dan saya disahkan positif COVID. Kedua-dua kami mengalami gejala ringan dan kini dimasukkan ke hospital.
“Kami diberitahu semua pihak berkenaan, keluarga dan kakitangan kami sedang menjalani ujian. Saya minta semuanya untuk kekal tenang dan tidak panik, ” kata Abhishek melalui laman sosial, malam tadi.
Dalam pada itu, laman sosial Amitabh dan Abhishek dibanjiri dengan ucapan oleh selebriti dan ahli politik India supaya mereka cepat sembuh.