BERITA TERKINI: KKM Buat Persiapan Kemungkinan Gelombang Ke-4 COVID-19

 BERITA TERKINI: KKM Buat Persiapan Kemungkinan Gelombang Ke-4 COVID-19
Advertisement

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan telah membuat persiapan untuk sebarang kemungkinan berlaku gelombang keempat Covid-19 termasuklah peningkatan kes akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari.

Advertisement

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, KKM maklum dengan beberapa jangkaan situasi dan sentiasa memantau perkembangan terkini jangkitan Covid-19.

Advertisement

“Memang kerajaan sedar ada kemungkinan akan berlaku berdasarkan anggaran yang dibuat, sebab itu di PRN Melaka kita tetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kita tidak benarkan kempen dan pertemuan bersemuka secara besar-besaran.

“Memang betul kesan jangkitan PRN Melaka hanya diketahui dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi. Ini semua sudah kita siap sedia dan untuk PRN Sarawak juga kita akan tetapkan SOP yang ketat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat berkenaan kesediaan kerajaan menghadapi fasa endemik dan kemungkinan peningkatan kes di Lembah Klang, serta kemungkinan kes meningkat di Melaka.

Aaron menjawab soalan asal daripada Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam), berkata setakat ini kerajaan berjaya mengawal pandemik Covid-19 dengan penurunan kes sejak minggu epid 35 tahun ini.

Advertisement

Katanya, jumlah kes mingguan sudah menurun daripada 138,929 kepada 40,600 pada minggu epid 46, dengan penurunan sebanyak 70.8 peratus.

“Kes kematian mingguan pula menurun sebanyak 83.4 peratus daripada 2,092 pada minggu epid 38 kepada 347 pada minggu epid 46 manakala kadar penggunaan katil di wad hospital dan di unit rawatan rapi (ICU) juga menurun.

“Penurunan menunjukkan kurang daripada 70 peratus, berbanding melebihi 100 peratus bagi kebanyakan hospital kerajaan semasa gelombang ketiga sedang memuncak pada minggu epid 29 (18-07-2021 hingga 24-07-2021) hingga minggu epid 36 (05-09-2021 hingga 11-09- 2021),” katanya.

Advertisement

Beliau menjelaskan kadar penggunaan katil oleh kes tahap tiga, empat dan lima menunjukkan trend penurunan berikutan kejayaan vaksinasi menurunkan risiko kemasukan ke wad.

Sementara itu, Aaron berkata kejayaan pengawalan pandemik Covid-19 disumbang pemberian vaksin secara intensif dan besar-besaran bagi memastikan liputan vaksinasi populasi mencapai 40 peratus dan ke atas.

“Sasaran berkenaan ditetapkan berdasarkan pengalaman beberapa negara yang meyaksikan penurunan kes, kematian serta penggunaan katil hospital apabila liputan vaksinasi populasi di negara itu mencapai 40 peratus dan ke atas.

“Sehingga 20 November lalu, Malaysia sudah mencapai liputan populasi lengkap divaksin sebanyak 76.4 peratus,” katanya. – Malaysiapost

Advertisement

MyNetizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *