Advertisement

Kenaikan harga sayur-sayuran hijau di negeri ini dikatakan hanya melibatkan barangan bukan dalam senarai barangan kawalan iaitu sawi yang dijual sehingga RM7 sekilogram ketika ini.

Seorang peniaga sayur di pasar awam Bayan Baru, Izam Abd Hamid, 42, berkata, kenaikan harga sawi sekitar RM2.50 sekilogram dikatakan berlaku ketika musim perayaan Aidilfitri.

Advertisement

Jelasnya, pada Ramadan lalu harga jualan sawi bagi peringkat peruncit dipasarkan pada RM4.80 sekilogram.

“Tetapi hari ini (semalam) naik hingga RM7. Saya baru mula nak berniaga lepas cuti hari raya. Kenaikan harga baharu sawi bukan tersenarai dalam harga kawalan kerajaan.

Advertisement
Advertisement

“Pemborong menetapkan pada harga RM4.80 sekilogram, sama dengan harga runcit pada Ramadan lalu.

“Kami peniaga terpaksa menjual pada harga RM6.50 hingga RM7 sekilogram ketika ini. Pemborong juga memberi alasan cuaca hujan memberi kesan kepada pengeluarannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya lagi, sayur-sayur se­perti cili merah, tomato, kacang panjang, terung panjang, ubi kentang import (China), bawang merah besar dan halia import masih kekal dalam harga kawalan.

Advertisement

Semalam Kosmo! melaporkan di peniaga di pasar awam Melaka dan Pulau Pinang mengeluh ­sayur hijau dan sawi naik mendadak sejak Jumaat lalu.

Di Melaka pula, sawi bunga didakwa naik sehingga RM10 sekilogram.

Advertisement

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga sayur di pasar awam daerah Barat Daya di sini yang mahu dikenali Rahimah, 47, berkata, harga sayur-sayuran didapati mengalami kenaikan selepas Aidilfitri.

“Saya dimaklumkan pemborong hari ini (semalam) tentang perubahan harga yang mungkin lebih tinggi berbanding sebelum sambutan hari raya.

“Mereka (pemborong) me­minta kami bersedia sebarang kemungkinan berlaku selepas ini,” jelasnya.

Tambahnya, dijangka sayur lain juga akan naik harga. -KOSMO! ONLINE

Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published.