Selepas disoal siasat oleh SPRM, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menegaskan dia “bukan seperti golongan perompak lain”.
Muhyiddin menjelaskan dia telah dipanggil oleh badan pencegah rasuah itu bagi membantu siasatan sebagai saksi dan bukannya suspek berhubung program Jana Wibawa untuk kontraktor Bumiputera di bawah pentadbirannya semasa menjadi perdana menteri.
Dia menegaskan bahawa pegawai penyiasat SPRM tidak menyoalnya berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pentadbirannya telah menyalahgunakan berbilion ringgit.
“Tak ada (soalan) dengan RM600 billion. Langsung tak tanya saya. RM530 billion atau RM86 bilion atau RM4.5 billion (yang didakwa telah diseleweng),” jelasnya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen derma darah di Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur pagi tadi.
“Saya terpanggil untuk memberi kenyataan mengenai Jana Wibawa. Jana Wibawa ialah projek yang diusahakan MOF (Kementerian Kewangan) yang dicadangkan oleh menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Waktu itu, saya setuju. Waktu Covid-19, antara paling teruk terkesan ialah kontraktor. Saya menjelaskan kepada SPRM bahawa hanya Kementerian Kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan dan memilih syarikat tersebut, manakala Pejabat Perdana Menteri (PMO) terlibat untuk mencadangkan nama syarikat. Kuasa untuk meluluskan bukan dengan PMO.
“Saya kemudian bertanya sama ada saya suspek dan akan didakwa. Dia (pegawai SPRM) kata bukan suspek. Suspek maknaya mungkin saya akan dituduh. Cuma saya diminta bantu jelaskan hal yang saya jelaskan tadi,” katanya.
[Laporan penuh menyusul]