Kerajaan meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard kepada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia, lapor Bernama.
Dalam pada itu, harga siling runcit telur ayam pula ditetapkan kepada RM0.45 sebiji bagi gred A, RM0.43 bagi sebiji telur ayam gred B dan RM0.41 bagi gred C di Semenanjung.
Menurut kenyataan media dari Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penetapan harga bagi siling ayam standard dan juga telur akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2022.

“Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumkah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.
“Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah yang tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.
“Dengan pelaksanaan subsidi ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 billion sejak 5 Februari 2022,” jelasnya.
Tambah beliau, isu kenaikan harga barang tidak berlaku hanya di Malaysia sahaja, sebaliknya ia merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan juga perubahan iklim.
Meskipun itu, pihak kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak akan terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Sumber: Bernama, Kenyataan Media